PENGALAMAN BERHARGA

Dalam kesibukan saya ke sana sini bertemu dengan bakal pelanggan. Tak kurang juga pengalaman yang kurang menyenangkan. Hari ini salah satunya. Seorang pegawai kepada salah satu organisasi terpenting negara memanggil saya 2 hari lepas untuk "menyelamatkan"  beliau yang diarahkan untuk mencari satu kumpulan seni bagi satu persembahan dalam acara mereka.

Setelah menghantar sebutharga yang diminta serta tawar menawar, saya bersetuju dengan harga yang jauh kurang daripada harga yang biasa saya tetapkan. Tidak mengapalah saya fikir asalkan layanannya baik dan menghormati kami itu pun sudah cukup. Pegawai ini juga bertanya sama ada kami boleh menyanyikan lagu berbagai bahasa dalam bentuk Ghazal. Tiada masalah bagi kami. Beliau juga maklumkan tak sempat memberikan deposit katanya kerana masa terlalu suntuk. Tidak mengapa kami faham.

Masalah timbul apabila beliau membaca di dalam emel yang saya hantar bahawa saya hanya akan menghantar kumpulan muzik ghazal dan tidak menyediakan alatan teknikal audio. Beberapa perbincangan berlangsung yang mana akhirnya beliau mengakui bahawa mereka tiada bajet untuk membayar sistem audio tambahan dan bahagian teknikal mereka tidak mempunyai alatan yang cukup untuk satu persembahan muzik. Hanya ada sistem yang sesuai untuk ucapan. Pada mulanya saya cuba juga berfikir mencari jalan untuk membantu dengan menggunakan apa yang ada. Yang mana bahagian teknikal organisasi besar ini hanya mampu sediakan 2 mikrofon sahaja. Tetapi setelah berbincang dengan rakan pemuzik yang lain. Nampaknya kami masih tetap memerlukan satu sistem audio sekurang-kurangnya 4 mikrofon tak kira apa jenis, mixer, speaker dan alatan tambahan lain. Dengan tujuan supaya bunyi yang terhasil dari persembahan kami terjaga dengan baik dan bukanlah hanya seperti patung yang sedang berlakon bermain muzik sedangkan bunyinya carca marba. Tak tahu apa yang sedang berlaku. Apa gunanya kami di panggil jika hanya bertujuan untuk dijadikan bahan pameran. Memang tak pernah berlaku pun kami membuat persembahan tanpa menggunakan sistem audio. Walaupun jenis yang paling murah.

Saya boleh lihat yang pegawai ini cuba juga menyelesaikan masalah. Terutamanya apabila berbincang dengan kakitangan bahagian teknikalnya. Yang mana akhirnya saya diminta datang ke lokasi persembahan untuk melihat sendiri kawasan persembahan yang mana jika mengikut pegawai teknikal yang saya hubungi itu. Tempat tersebut tidak memerlukan sistem audio. Walhal jika mengikut logiknya, sedangkan bunyi percakapan seorang individu mereka guna mikrofon!!... inikan bunyi alatan muzik yang banyak.. bagaimana boleh didengar.

Setelah sampai ke tempat yang dijanjikan. Pegawai tersebut dan kakitangan teknikalnya tetap sedaya upaya mencari jalan memaksa saya datang membuat persembahan di sana tanpa menggunakan apa-apa alatan teknikal audio. Saya cuba juga memberi cadangan supaya menyewa 2 lagi mikrofon dari luar sebagai tambahan kepada 2 mikrofon yang boleh mereka sediakan. Sama ada saya cari mikrofon dan masukkan dalam sebutharga yang baru atau saya berikan no telefon beberapa pembekal sistem audio murah untuk mereka hubungi sendiri. Mula-mulanya alternatif ni seakan telah dipersetujui.

Tiba-tiba datang pula seorang lagi yang dikatakan "pakar" teknikal. Dengan kasarnya MEMAKSA saya menerima sahaja idea mereka (dengan cara arahan yang wajib saya patuhi). Saya cuba juga jelaskan bahawa memang kumpulan saya tak pernah buat persembahan tanpa sistem teknikal audio. Walau ditempat yang kecil sekali pun. Bagaimanapun cara kakitangan ini (mungkin bos teknikal) lebih kasar dan biadap. Kali ini saya rasa sudah tiba masanya saya kena jelaskan bahawa saya bukan bekerja di bawah kuasa mereka dan ada hak untuk tidak bersetuju dengan syarat mereka. Saya terus batalkan sahaja perbincangan tersebut dan terus beredar.

Bila saya lihat keadaan tersebut, beberapa perkara bermain di fikiran saya. Pertama mungkin pekerja di organisasi ini rasa diri terlalu angkuh dengan tempat mereka bekerja. Yang mana sesiapa sahaja adalah di bawah telunjuk mereka. Perlu mematuhi arahan mereka. Hingga terlupa bahawa dunia bukan berada di kawasan organisasi mereka sahaja. Dunia lebih luas. Kedua ada kemungkinan organisasi ini mungkin bermasalah. Laksana acara di saat akhir dan pekerja di bawahnya sentiasa dalam keadaan yang kelam kabut. Kemungkinan yang ketiga pula pegawai yang menguruskan acara ini kurang pengalaman. Terutama apabila mencari jalan penyelesaian terhadap masalah yang timbul.

Sebenarnya masalah ini kecil sahaja. Dengan sedikit tambahan bajet untuk menyewa mikrofon yang ada kemungkinan tak sampai pun RM 100. Persembahan dapat berlangsung seperti yang dinginkan oleh Gabenor institusi ini. Saya dah cuba bertolak ansur sebaik mungkin. Namun tidak juga berjaya mencapai kata putus. Tidak ada masalah. Kami akan tetap teruskan perjuangan kami memartabatkan kesenian tradisional walau pun ada yang memandang rendah kepada kami. Kepada yang sentiasa memberi sokongan. Terima Kasih.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Cara Menguruskan Aliran Tetamu dan Crowd Control dalam Majlis Perkahwinan

Pengurusan aliran tetamu dan kawalan kesesakan yang efektif adalah penting untuk memastikan majlis perkahwinan berjalan lancar dan selesa u...